Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pembaharuan cerminkan komitmen RTB untuk terus relevan, berdaya sain
09/07/2025

 


Radio Televisyen Brunei (RTB) mengadakan Majlis Pelancaran Pembaharuan Persembahan Grafik TV dan Penjenamaan Semula Nama Baharu Studio 4 Kepada Studio Jubli Emas TV bersempena Jubli Emas Perkhidmatan Televisyen Brunei bertempat di Studio 4, Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar, hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM dan RTB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Timbalan Pengarah RTB (Kemajuan), Awang Zulkarnain bin Haji Brahim selaku Pengerusi Bersama Majlis Jubli Emas Perkhidmatan Televisyen Brunei.

Dalam ucapannya, Awang Zulkarnain antara lain menjelaskan bahawa lima dekad yang lalu, pada tahun 1975, siaran televisyen telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam keseluruhan negara. Detik itu tambahnya, menandakan permulaan era baharu dalam dunia komunikasi dan penyiaran di Negara Brunei Darussalam (NBD).

“Sejak itu, Televisyen Brunei bukan sahaja menjadi sumber maklumat, malah berperanan penting dalam memperkukuhkan identiti dan memelihara budaya serta menyampaikan dasar dan hasrat kerajaan kepada rakyat," jelasnya.

Dalam lima dekad ini juga terangnya, RTB telah melalui pelbagai revolusi teknologi daripada siaran analog digital sepenuhnya dan pada masa ini bersiaran merentasi pelbagai platform.

Kongsi beliau, antara pencapaian adalah penstriman secara langsung melalui RTBGo, peningkatan kualiti penyuntingan grafik dan pembacaan berita sejajar dengan standard penyiaran.

Selain itu juga, pelaksanaan penggunaan bahasa Isyarat dalam siaran berita bagi kemudahan untuk penonton berkeperluan khas dan penggunaan media sosial untuk mendekati generasi baharu.

Menurutnya lagi, beberapa usaha dalam meningkatkan rancangan yang berkualiti adalah seperti mengadakan latihan dan bengkel asas kemahiran kepada warga kerja bagi meningkatkan kualiti penulisan skrip, pengarahan dan persembahan visual.

Selain itu, tambahnya, menghasilkan beberapa program tempatan yang relevan hasil dan maklumat kajian audiens dan juga memberikan peluang kepada penerbit-penerbit dan bakat kreatif tempatan berkolaborasi.

“Transformasi RTB bukan sahaja perubahan teknologi namun ia adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035, seperti meningkatkan kualiti kehidupan rakyat melalui maklumat semasa, mendidik dan menghibur, menghasilkan modal insan berpengetahuan dan kreatif dalam sektor penyiaran dan ekonomi yang dinamik menjadikan Brunei sebagai negara yang dikenali melalui penerbitan kandungan tempatan," ujarnya lagi.

Majlis diteruskan dengan pelancaran Persembahan Grafik TV dan menyaksikan video mengenai dengan RTBGo Facelift, Sejarah RTB dan Lagu Perkhidmatan TV Brunei.

Sejurus selepas penyampaian cenderamata, tetamu kehormat turut merasmikan penjenamaan semula nama baharu Studio 4 kepada Studio Jubli Emas TV.

Usaha melaksanakan pembaharuan persembahan visual ke atas beberapa kandungan Persembahan Grafik TV adalah bagi membawa konsep yang lebih terkini dan dinamik selaras dengan perkembangan reka bentuk grafik penyiaran semasa.

Pembaharuan ini mencerminkan komitmen RTB untuk terus relevan, berdaya saing dan memperkukuh identiti sebagai penyiar nasional di NBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto